Selasa, 9 November 2010

Dadah haram di sisi Islam

Bersama Dr. Amran Kasimin

SOALAN:
Telah dua kali saya masuk pusat pemulihan dadah, tetapi setiap kali keluar saya masih menghisap dadah. Sekarang ini saya tidak lagi pergi ke pusat rawatan. Saya terpaksa pergi ke balai polis setiap bulan untuk pemantauan, tetapi masalah saya tidak juga selesai. Saya masih menghisap dadah.
Apakah cara terbaik untuk orang seperti saya mengatasi masalah ini?- IKRAM KARDI, Banting, Selangor.
JAWAPAN:
 Banyak perkara penting yang perlu saudara insafi dalam usaha memulihkan diri. Kesemuanya bergantung pada diri sendiri, iaitu keazaman saudara untuk pulih. Keazaman untuk pulih ini pula bergantung pada kekuatan untuk menahan diri daripada menghisap atau mendekati dadah.
Biar apa usaha dan ikhtiar dilakukan oleh kerajaan atau keluarga, namun sekiranya saudara tidak berupaya menjauhkan diri daripada dadah, semua usaha itu akan gagal dan punah sama sekali tidak ubah seumpama robohnya istana pasir di tepian pantai. Untuk berhenti menagih dadah, seseorang itu mesti sedar bahawa dadah itu haram hukumnya di sisi Islam. Sesiapa yang terlibat dengan dadah bererti mereka melakukan perbuatan haram.
Dalam konteks ini, biarpun kebanyakan mereka yang terlibat dengan dadah itu tidak mengira halal atau haram, saya kira saudara tetap berupaya menyedari tentang hukum ini kerana saudara masih mempunyai kesedaran untuk mengatasi masalah yang sedang ditanggung. Perkara lain yang penting dan perlu diinsafi ialah kesedaran tentang keburukan dadah terhadap diri orang yang terlibat. Dalam masyarakat Malaysia, perkataan ``dadah'' merujuk kepada dadah yang telah disalahgunakan.
Dadah adalah bahan kimia psikoaktif yang mempunyai ciri-ciri tertentu yang mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan.
Ia mempunyai kesan yang jelas pada sistem saraf pusat, iaitu otak dan saraf tunjang. Yang paling teruk ialah berlakunya penggantungan fizikal dan psikologikal menyebabkan meningkatnya daya tahan terhadap dadah.  Saudara tidak menjelaskan jenis dadah yang saudara ambil yang menyebabkan berlakunya ketagihan sama ada ia jenis heroin, morfin, ganja, kokain atau sebagainya.  Apa yang jelas ialah bahan najis yang saudara ambil itu, yang saudara sendiri pun tidak tahu jenisnya, menyebabkan saudara terus-menerus bergantung kepadanya. Saudara mengalami gian atau mengidam untuk mengambilnya kononnya bagi mendapatkan ketenangan jiwa.
Selain menyebabkan berlakunya pergantungan psikologikal, juga terjadi pergantungan fizikal di mana akan berlaku tanda-tanda tertentu dari segi tingkah-laku dan fizikal ketika saudara mengambilnya seperti sakit perut, menggeletar, muntah dan sebagainya. Semakin banyak saudara mengambil dadah, semakin kuat pengambilan dadah itu akan menjadi sebahagian daripada hidup dan ia akan mengatasi keperluan hidup yang lain, termasuk keperluan makan dan minum, lalu akhirnya seseorang itu terasa terdesak atau gian untuk menggunakan dadah, lebih-lebih lagi apabila saudara cuba mengurangkan atau berhenti daripada menagih, lalu akhirnya saudara tidak dapat mengawal jumlah dadah yang diambil dan kekerapannya. Dengan demikian tarikan atau kecenderungan menagih terus-menerus berlaku, biarpun setelah saudara berhenti mengambil dadah untuk beberapa waktu.
Kesan dadah yang diambil bergantung kepada individu yang terlibat, iaitu tertakluk kepada jenis dadah dan jumlah yang digunakan. Jumlah (dos) yang sedikit memberi kesan yang berbeza berbanding kesan dos besar. Dos sedikit mungkin menyebabkan seseorang itu mengantuk atau euforia berbanding dengan mereka yang mengambil dos besar yang boleh menyebabkan kesukaran pernafasan dan mungkin membawa maut. Begitu juga dengan cara mengambil seperti hidu, ditelan ataupun dengan campuran lain. Kekerapan juga ada kaitan dengan umur, daya ketahanan diri dan lain-lain termasuk jantina. Perbuatan mengambil dadah hukumnya haram. Setiap sesuatu yang diharamkan oleh agama, mudaratnya begitu banyak pada diri, menyebabkan batuk, selain mengakibatkan penyakit bronkitis, sakit dada, asma dan akhirnya boleh menyebabkan kanser paru-paru.
Dunia sendiri
Manusia yang terlibat dengan dadah akhirnya akan hidup dalam dunianya sendiri. Mereka akan menjauhkan diri daripada masyarakat dan hanya bergaul dengan kumpulan penagih dadah, penjenayah dan juga penipu. Semua tugas akan terabai sama ada di tempat kerja, dalam keluarga atau ketika belajar. Badan penagih menjadi kurus, malas, tidak bertenaga dan berada dalam khayalan, kehilangan tenaga seks, pitam, berperasaan ganas dan juga menyebabkan kematian jika mengambil dadah berlebihan. Ketahanan diri menjadi lemah dan mudah dijangkiti pelbagai penyakit. Cara terbaik yang perlu dilakukan oleh saudara, dan juga oleh mereka yang terjebak dengan najis dadah, ialah memberhentikan amalan mengambil dadah.  Pastinya memberi formula seperti ini begitu mudah, tetapi tidak mudah untuk melakukannya setelah seseorang ketagihan.
Memang disedari bahawa tidak mudah untuk menghentikannya, tetapi kalau saudara mahu selamat di dunia dan di akhirat, saudara terpaksa berhenti, bertaubat dan tidak mengambilnya. Sekiranya tidak, penagih akan berakhir dengan kemusnahan, kematian akibat mengambil dadah yang berlebihan ataupun dijangkiti virus HIV.Maruah keluarga penagih dadah akan tercemar. Keluarga terpaksa menanggung beban dan wang yang banyak untuk merawat ketagihan itu. Harapan keluarga musnah dan rumah tangga akan porak-peranda. Selain itu kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk mengatasi masalah ini, sama ada kos nyata atau tidak nyata, termasuklah kerugian akibat pengurangan daya pengeluaran ekonomi, kos menyediakan kemudahan rawatan, menyelenggara program pencegahan, kerugian akibat kegiatan jenayah, juga kos penguatkuasaan. Semua ini ditanggung oleh kerajaan yang melibatkan wang rakyat.
Saudara perlu sedar bahawa golongan terbesar yang terlibat dengan masalah dadah ialah golongan belia yang menjadi tulang belakang pembangunan negara dan bakal menggantikan pemimpin yang ada sekarang. Sebilangan besar mereka yang terlibat berumur antara 20-29 tahun, iaitu lebih kurang 65 peratus daripada keseluruhan bilangan penagih. Adalah sesuatu yang mengerikan apabila memikirkan bahawa bilangan penagih dadah sering bertambah peratusnya, padahal mereka yang berjaya dipulihkan di pusat-pusat pemulihan dan kembali ke pangkuan masyarakat tanpa bebas daripada dadah begitu kecil bilangannya.
Dadah memusnahkan segala-galanya. Memusnahkan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Orang yang terus-menerus ketagih, tidak kira apa puncanya sama ada kerana kena tipu, kerana berseronok-seronok, pengaruh rakan, mengambil dadah dengan tidak sengaja, ataupun untuk mengatasi masalah tekanan jiwa akan bergantung kepada dadah secara psikologikal dan juga fizikal. Dalam masa yang sama daya tahan diri (tolerance) kepada dadah akan meningkat apabila dos yang selalunya diambil tidak memberi kepuasan untuk mengatasi ketagihan tadi.  Kerana itu dos dadah terpaksa ditambah untuk mencapai tahap kepuasan. Ketika ini penggunaan dadah menjadi bahagian penting yang mengatasi keperluan-keperluan lain. Apabila ini berlaku, dadah mengatasi segala-galanya, menyebabkan individu yang terlibat akan mencari dadah dengan apa cara sekalipun, biarpun ke peringkat membunuh ibu dan sendiri. Orang yang terus-menerus terlibat dengan dadah tidak ubah umpama kayu gapuk yang bergerak. Kewujudannya hanya memperbanyakkan bilangan rakyat sesebuah negara, padahal hakikatnya mereka tidak berfungsi, malah menjadi beban kepada masyarakat. Kesedaran seumpama ini perlu dimiliki oleh orang yang terlibat dengan dadah. Dan saya berkeyakinan bahawa saudara masih mempunyai peluang untuk bertindak bijak hasil daripada keinsafan tadi. Insya-Allah dengan hidayah dan pertolongan Allah, saudara akan diberi kekuatan untuk mengelakkan diri daripada terus menghampiri najis dadah.
Saudara perlu insaf bahawa hanya Allah yang boleh menolong saudara. Pertolongan saudara pula banyak bergantung kepada tindak-tanduk saudara. Saudara perlu sedar bahawa Allah sentiasa memerhatikan apa yang kita lakukan.
Manusia sama ada mereka yang terlibat di pusat-pusat pemulihan ataupun mereka yang dipertanggungjawabkan dengan pemantauan di balai-balai polis tidak berupaya memerhatikan saudara sepenuh masa. Kerana itu sekiranya saudara berhenti mengambil dadah sehari atau dua hari sebelum diperiksa atau melaporkan diri di balai, sedangkan pada hari yang lain saudara berterusan mengambil dadah, saudara janganlah menganggap bahawa diri saudara itu bijak, kelihatan sihat, segar dan tidak terdapat bukti-bukti adanya dadah.  Tindak-tanduk seumpama ini adalah menipu diri sendiri. Saudara tidak ubah menanti kayu-kayu gapuk yang tidak bermaya tetapi masih mempunyai kudrat bergerak untuk memusnahkan diri sendiri.

Mingguan Malaysia 29/9/02

Tiada ulasan:

Catat Ulasan