Selasa, 28 Disember 2010

Berita Mahkamah Dadah

4 warga Taiwan terlepas tali gantung

JOHOR BAHRU 27 Dis. - Empat lelaki warga Taiwan terlepas daripada hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar seberat 43.033 kilogram (kg) dadah jenis nimetazepam, Mac tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, M. Gunalan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh iaitu Chung Sheng Wen, 37; Chang Yen Min, 36; dan Chang Yun Sheng serta Wu Sheng Yuan, masing-masing berusia 32 tahun.
''Pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa kesemua tertuduh berada di premis berkenaan tetapi gagal membuktikan bahawa mereka terlibat dengan kegiatan memproses dadah berkenaan.
''Pendakwaan juga gagal membuktikan penglibatan tertuduh secara langsung dalam memiliki peralatan dan bahan bukti yang dirampas daripada premis berkenaan. Oleh itu kesemua tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan,'' katanya.
Keempat-empat warga Taiwan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kilang beralamat nombor 12, Jalan Angkasa Emas 6, Kawasan Perindustrian Tebrau 2 di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 22 Mac 2009.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan itu merupakan pertuduhan pindaan selepas mereka pada 3 April tahun lalu dituduh mengedar dadah jenis Eramin 5 seberat 1,439 kg di kilang itu pada tarikh dan waktu yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar yang mengendalikan pendakwaan sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa kesemua tertuduh yang ditahan di kilang berkenaan terbabit memproses dan mengedar dadah tersebut.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh-tertuduh, Naran Singh dan G.K. Sritharan pula berkata, ketika serbuan di kilang itu, kesemua lelaki terbabit berada di tingkat atas bangunan dan tidak mengetahui sebarang aktiviti di bahagian bawah kilang.
''Pihak pendakwaan hanya bergantung kepada sesetengah bukti sahaja. Selain itu, tiada bukti khusus mengaitkan mereka terlibat secara langsung dengan kegiatan memproses dadah atau mengetahui tentang perkara itu,'' katanya.
Beliau berkata, pihak pendakwaan juga gagal memanggil saksi utama iaitu pengawal keselamatan dan penyewa bangunan berkenaan untuk memberikan keterangan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan