Jumaat, 17 Disember 2010

PENYALAHGUNAAN DADAH


PENDAHULUAN
Dewasa ini masalah keruntuhan akhlak di kalangan pelbagai masyarakat di negara kita amat
mencemaskan dan menjadi semakin rumit untuk ditangani. Salah satu masalah sosial yang
agak meruncing adalah penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat khususnya Umat
Islam. Penyalahgunaan dadah yang berleluasa ini telah menimbulkan satu masalah besar
kepada negara. Setiap tahun bilangan penagih kian bertambah sedangkan yang sedia
menagih tidak pula berkurangana atau sembuh. Pihak kerajaan telah berusaha keras untuk
menangani masalah ini yang kini telah menjadi satu agenda utama negara untuk
membasminya. Berhubungan dengan itu, kita juga telah dikejutkan dengan kesan buruk
akibat dari pengambilan dadah ini iaitu satu penyakit ‘kronik’ yang dikenali sebagai HIV
(Human Immunodeficency Virus) dan AIDS (Aquired Immune Deficency Syndrome).
Walau pun kita semua benci kepada perkara ini, namun kerajaan tidak pernah
mengabaikan tanggungjawabnya untuk memulih dan menyelamatkan mereka yang terlibat
ini dan berharap mereka akan insaf serta berusaha memulihkan diri sendiri.

SERANGAN MUSUH ISLAM

Kita tahu bahawa musuh-musuh kita amat tidak suka melihat perkembangan Islam yang
begitu maju dan terkehadapan dalam banyak segi. Mereka sentiasa mencari berbagai cara
bagi menjatuhkan Islam dan cara yang paling berkesan ialah melemahkan kekuatan umat
Islam itu sendiri. Penggunaan dadah sudah diketahui umum cukup berjaya dan inilah yang
dibawa oleh musuh Islam. Dalam keghairahan kita mengejar kehidupan kita kadangkala
terlupa tentang jerat yang menanti kita.

APA ITU DADAH?

Mengikut Risalah kecil 'Islam Memusuhi Dadah' yang diterbitkan oleh Pasukan Petugas
Khas Anti dadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1993,
telah memberi penjelasan seperti berikut : Dadah ialah bahan kimia psikoaktif yang
mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf seperti menyebabkan keadaan
mabuk, khayal, ketagih, gangguan tingkahlaku dan sebagainya. Penggunaannya yang
berterusan akan mendatangkan bahaya dan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat,
negara dan agama Islam. · Takrif ini tidak meliputi alcohol dan tembakau serta ubat yang
juga merupakan bahan kimia asli atau tiruan yang digunakan untuk mengesan , mencegah
atau mengubati penyakit.

JENIS DADAH

Dadah boleh dibahagikan kepada tiga jenis utama, iaitu : 1. Depresan - termasuk heroin,
morfin, candu, kodein dan barbiturat. 2. Stimulan - termasuk kokain, amfetamin, gam ,
pelarut organik seperti benzin dan cat. 3. Halusinogen - termasuk ganja, habish, LSD,
PCP,’Crack’ dan bahan yang mengandungi psilosibin.

MENGAPA ISLAM MELARANG PENGAMBILAN DADAH D

alam menjamin kesejahteraan hidup, Islam telah menetapkan
panduan-panduan dan larangan-larangan dalam pengambilan bahan makanan atau barang
gunaan agar umatnya tidak terjerumus dalam mengambil benda-benda yang ditegah. Ini
semua adalah untuk memastikan kesinambungan hidup manusia agar sentiasa terpelihara
akidahnya. Kita sering mendengar pepatah arab yang menyebut : 
Maksudnya :' Akal yang sihat terletak pada tubuh badan yang sihat'. 

Ini bermakna hubungan di antara akal (mental/spritual) dan badan (fizikal) amat berkaitrapat dan akan
memberi kesan yang mendalam di antara satu sama lain. Oleh kerana itu, Islam menggesa 
umatnya supaya mengambil makanan yang baik dan halal termasuklah bersih dan 
berkhasiat . Tegahan mengambil benda/bahan makanan yang kotor, jijik dan keji serta yang 
ditegah adalah jelas dilarang sama sekali termasuklah mengambil benda-benda yang 
memabukkan seperti dadah. Kerana mempunyai kaitan yang rapat dengan mental/spritual 
maka ia amat mempengaruhi kesempurnaan amal ibadat seseorang. Sebagai umat Islam, 
kita perlu mengetahui bahawa dadah adalah sejenis ‘bahan’ kotor, najis, jijik dan keji yang 
boleh merosakkan kesihatan tubuh badan kerana sifatnya yang memabukkan/
mengkhayalkan. Perbuatan mengambil dadah sama seperti sengaja melibatkan diri dalam 
larangan-larangan Allah S.W.T. dan ianya amat ditegah. Firman Allah S.W.T. dalam 
al-Qur’an surah al-Baqarah ayat 195 berbunyi : 
Maksudnya : '… Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu 

sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan …'

HUKUM

Larangan pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang diqiaskan
kepada arak. Dalam al Qur’an banyak menyebut mengenai pengharaman arak dan dalil
pengharaman ini bersandarkan kepada keterangana nas-nas (al-Qur’an dan al hadith)
kerana ia termasuk dalam pengertian umum ‘benda-benda yang memabukkan, yang
menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu
‘memabukkan’ atau kerana terdapat keburukan-keburukan terhadap individu-individu dan
masyarakat. Sabda Rasulullah s.a.w. berbunyi : 
Maksudnya :' Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram'.
(Riwayat Muslim)

 KESAN PENGAMBILAN DADAH 
i. Dadah Menghancurkan Rumahtangga : Keluarga dinaungi oleh ketua yang menjadi penagih akan menimbulkan
berbagai kesulitan dan masalah di antaranya tidak dapat menyediakan nafkah yang
diperlukan bahkan terdapat yang memaksa isteri dan anak-anak memberi wang untuk 
membeli dadah. Sebagai ketua keluarga, Islam menitikberat mengenai kehidupan ahli 
keluarga agar dipelihara dengan sebaik-baiknya. Firman Allah S.W.T. dalam surah
at-Tahrim ayat 6 yang berbunyi : 
Maksudnya : '...peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka… '.

 Rasulullah s.a.w bersabda : 
Maksudnya : ' Seseorang itu adalah berdosa jika dia menyempitkan orang yang di
bawahnya '. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud) 

ii. Dadah Menimbulkan Masalah Jenayah :
Jenayah seringkali juga dikaitkan dengan penagih-penagih. Masalah ketiadaan sumber
kewangan untuk memenuhi keperluan keluarga dan diri sendiri boleh menyebabkan hilang
punca kawalan diri dan cara yang paling mudah untuk mendapat wang adalah melakukan
jenayah sama ada mencuri, memeras ugur, merompak atau membunuh. 

iii. Dadah Merosakkan Diri Sendiri : Apa yang sungguh menyedihkan ialah penagih-penagih yang
sebati dengan dadah ketagih sudah tidak dapat dipulihkan lagi. Mereka ini tidak dapat
mengawal diri sendiri, kotor, busuk malah telah menjadikan lorong-lorong tertentu sebagai
tempat tinggal. Sungguh memilukan mata memandang. Bayangkan jika mereka ini terdiri
dari kalangan keluarga kita, apa yang patut kita buat?. Mereka ini sudah tiada haluan hidup,
dibenci masyarakat dan membebankan negara.

 iv. Dadah Mendatangkan Penyakit HIV/AIDS : Salah satu kesan buruk yang amat ditakuti pada hari ini akibat dari pengambilan dadah yang berterusan adalah berkemungkinan mengidap penyakit HIV/AIDS. Memang sudah diketahui umum, bagi penagih yang berada dalam peringkat ketagihan dadah akan menggunakan 
berbagai cara untuk menghilangkan ketagihan itu, di antaranya melalui suntikan pada
anggota badan. Bagi yang tidak mempunyai cukup wang, mereka sanggup berkongsi jarum
dan cara inilah yang menyebabkan menularnya penyakit tersebut.
Apa yang lebih mendukacitakan ialah penyakit ini masih belum dapat dirawat sepenuhnya,
hanya bertahan untuk satu waktu yang tidak dapat dipastikan.

Dalam kes seperti ini sama ada penagih itu mengidap penyakit atau sebagai pembawa
penyakit, mereka seringkali dipandang hina oleh masyarakat bahkan keluarga sendiri
termasuk isteri/suami dan anak-anak. Masyarakat juga takut diri mereka dijangkiti penyakit
tersebut. Masalah ini kadangkala menjeruk hati dan perasaan pasangan berkenaan kerana
berada dalam keadaan serba salah.

v. Dadah Membunuh Diri Sendiri :

Di atas larangan yang paling besar perlu dipastikan oleh umat Islam ialah tidak dibenarkan
membunuh diri sendiri walau dalam keadaan apa sekalipun, dan mengambil dadah boleh 
membawa kepada kematian. Tegahan membunuh diri jelas dalam al-Qur’an, 
Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 151 berbunyi :

Maksudnya :' …dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah melainkan 

dengan jalan yang hak.…'

Penutup :

Islam amat menitikberatkan mengenai kesejahteraan hidup umatnya. Dalam banyak perkara, 
keutamaan terhadap keimanan seseorang adalah menjadi tunjang utama untuk mencapai
kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Jelaslah syariat Islam diturunkan adalah untuk
memelihara kewujudan ummah dengan memelihara perkara-perkara asas iaitu jiwa, akal,
keturunan, agama, kehormatan di samping mengharamkan segala yang boleh
merosakkannya. Insya Allah, kita semua akan dijauhi dari bahaya dadah ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan