Isnin, 28 Mac 2011

Man Dayak kecundang

MERSING: Tidak pernah serik. Walaupun sudah tiga kali ditahan dan dibuang daerah, lelaki yang terkenal di kalangan penagih dengan panggilan Man Dayak masih terus aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar pekan Endau dan daerah berhampiran.
Bagaimanapun, kegiatan licik Man Dayak selama 22 tahun itu menemui noktah tengah hari kelmarin, apabila dia ditahan anggota Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mersing, Cif Inspektor Kenneth Oliver bersama beberapa anggota menyerbu rumah suspek di Jalan Haji Ariffin, Endau.
Difahamkan, ketika pintu rumah berkenaan diketuk, suspek enggan memberi kerjasama sehingga memaksa polis bertindak memecahnya.

Polis menahan suspek berusia 40 tahun bersama beberapa plastik dipercayai dadah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui satu bekas minyak dan beg plastik mengandungi 583 gram heroin dan 3.7 gram syabu bernilai RM12,000 serta wang tunai RM5,850.

“Serbuan itu hasil maklumat awam dan polis mengambil masa tiga bulan menjalankan intipan sebelum menyerbu lokasi berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dikenali sebagai Man Dayak dan berasal dari Taman Sri Mersing, mempunyai 14 rekod jenayah lampau dan pernah ditahan tiga kali di Penjara Simpang Renggam atas kesalahan sama,” katanya.
Menurutnya, selain perintah tahanan, suspek pernah dibuang daerah tiga kali iaitu sekali di Kelantan dan dua kali di Tanjung Karang, Selangor, kerana kesalahan dadah.

Katanya, Man Dayak sudah lama disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di kawasan Endau.

“Selain itu, suspek dipercayai menjadi pengedar di kawasan berkenaan sejak sekian lama selepas selesai menjalani hukuman buang daerah,” katanya.

Beliau berkata, ketika ditahan, suspek tidak melawan, malah akur apabila diarah menjalani ujian air kencing.

“Suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga 3 April ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Mohd Nor berkata, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM12,000 dan wang tunai yang dijumpai dipercayai hasil jualan bahan terlarang itu kepada penagih di sekitar kawasan berkenaan.

“Kami percaya, dengan tertangkapnya Man Dayak, kegiatan penagihan dadah di kawasan Endau dilumpuhkan. “Bagaimanapun, polis masih menjalankan intipan dari semasa ke semasa untuk menahan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam jenayah berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan