Isnin, 28 Mac 2011

Sekeluarga makan hasil jualan dadah

AMPANG: Hanya kerana terlalu sayangkan anak dan ingin hidup mewah, sepasang suami isteri sanggup bersekongkol dengan anak lelakinya dalam kegiatan pengedaran dadah.
Biarpun mengetahui kegiatan jenayah anak kesayangannya itu, pasangan terbabit dikatakan sanggup menyembunyikannya daripada pengetahuan polis kerana tidak mahu anaknya meringkuk dalam penjara.

Lebih mengejutkan, pasangan yang berusia 50-an itu dikatakan tidak menghalang kegiatan anak lelakinya itu kerana mampu mengecapi hidup mewah hasil ‘jualan’ anaknya itu.
Namun, hasil maklumat orang awam dan risikan pihak berkuasa, kegiatan anak lelakinya yang berusia 20-an dikesan sebelum satu serbuan dilakukan di rumah keluarganya di Bukit Antarabangsa, di sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, selain pasangan terbabit, salah seorang anak lelaki dan menantunya turut ditahan ketika berada dalam kondominium mewah berkenaan.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, sekumpulan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, menyerbu kediaman berkenaan selepas melakukan intipan selama beberapa minggu. Menurut sumber, intipan dilakukan selepas menerima maklumat awam mengatakan suspek adalah seorang pengedar dadah. “Malah, lelaki terbabit dilaporkan tidak bekerja dan bergantung hidup dengan hasil jualan bahan terlarang itu. “Ketika serbuan dilakukan, ahli keluarga suspek berada di dalam rumah berkenaan bersama anak lelaki dan menantunya. Hasil pemeriksaan polis selepas menggeledah rumah itu menemui beberapa peket dadah dipercayai heroin,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan