Khamis, 7 April 2011

Lagi sindiket dadah Iran tumpas

KUALA LUMPUR 6 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan menangkap sembilan individu termasuk empat wanita warga Iran di ibu negara, semalam.
Operasi besar-besaran itu juga berjaya merampas 71.4 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM17.9 juta dan wang tunai RM7.1 juta serta pelbagai mata wang asing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 38 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar ibu negara.
Menurut beliau, tangkapan pertama dilakukan ke atas seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Jalan Inai, di sini yang dijadikan stor simpanan dan pembungkusan serta menemui 69 kg dadah jenis syabu.
Jelas beliau, hasil soal siasat, pihaknya menahan seorang lagi lelaki dipercayai ahli sindiket di tepi Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum suspek membawa polis ke sebuah rumah di Sentul dan menemui 1.99 kg syabu.
“Polis kemudian menahan tiga lelaki dan empat wanita masing-masing di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
“Hasil pemeriksaan di semua rumah suspek, kita menemui wang tunai dipercayai hasil jual beli dadah yang disimpan sebelum dihantar ke negara asal,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Noor Rashid, siasatan awal mendapati, sindiket yang aktif sejak sebulan lalu memperoleh dadah dari negara asal sebelum diedarkan ke negara ini serta beberapa negara lain seperti Indonesia, Jepun, Australia dan New Zealand.
“Kita telah menjalankan intipan selama sebulan hasil maklumat orang awam dan risikan JSJN sendiri,” katanya.
Menurut beliau, turut dirampas lima buah kenderaan, 26 utas jam tangan pelbagai jenama dan dua buah komputer riba yang dipercayai digunakan untuk transaksi penghantaran wang.
Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Noor Rashid juga memberitahu, sejak Januari hingga 4 April tahun ini, pihaknya berjaya menumpaskan beberapa sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya 65 individu dan merampas 297 kg dadah jenis syabu bernilai RM75 juta.