Sabtu, 21 Mei 2011

Dadah: Pekebun dipenjara, sebat, rakan bebas

SHAH ALAM 18 Mei - ''Orang Melayu telah dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.
''Masalahnya kita orang Islam tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya. Islam menekankan yang utama adalah ilmu dan apabila ilmu tiada, kita mempermainkan hukum agama,'' kata Hakim Datuk Abd. Rahim Uda di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali ke atas seorang pekebun, Fazizol Mohd. Razali, 25, yang mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 216 gram kanabis, dua tahun lalu.
''Doa kami agar kamu mengambil hukuman ini sebagai lembaran baru dan menjalani kehidupan mengikut undang-undang Allah dan bukan nafsu, semoga awak bertaubat nasuha,'' sambung beliau.
Fazizol yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan Flat Seri Sementa, Kapar, Klang dekat sini pada pukul 10.45 malam, 21 Februari 2009.
Pertuduhan pilihan ditawarkan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman di bawah Seksyen 39A(2) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun, maksimum serta sebatan tidak kurang 10 kali.
Sebelum ini dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Manakala rakan Fazizol, Mohd. Zuhaili Husen, 29, seorang pembuat jeriji besi yang menghadapi tuduhan sama dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah atas permohonan pihak pendakwaan.
Menurut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi, kedua-dua tertuduh ditangkap dalam satu operasi polis sewaktu sedang duduk di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan polis menjumpai sebuah beg kain berwarna hitam mengandungi satu ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja di dalam raga motosikal yang ditunggangi Mohd. Zuhaili.
Fazizol diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusof, manakala Mohd. Zuhaili diwakili oleh peguam Suzanawati Ismail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan