Sabtu, 21 Mei 2011

Nenek warga India edar ketamine dihukum mati

SHAH ALAM 20 Mei - Seorang nenek warganegara India hanya mampu menangis tersedu-sedu apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis ketamine seberat 2,925 gram semasa tiba di negara ini, dua tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Fazila Bee Abdul Kareem, 62, selepas berpuas hati bahawa keterangan pembelaan tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakiman ringkasnya, beliau berkata, keterangan tertuduh didapati penuh dengan percanggahan serta tidak langsung dapat diterima akal.
Jelas beliau, tertuduh mendakwa datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah dan diminta oleh seorang wanita yang akan bekerja di tempat sama untuk mendaftar masuk sebuah beg semasa berada di India.
Bagaimanapun, kata Hakim Noor Azian, tertuduh bukan sahaja tidak mempunyai permit kerja dan hanya masuk menggunakan visa pelancong, tetapi tidak mengetahui siapa majikannya dan tidak mempunyai alamat tempat dia dikatakan akan bekerja.
''Tertuduh dikatakan lahir pada 1949 tetapi hasil pemerhatian terhadap keterampilannya, saya berpendapat umurnya lebih daripada itu dan tidak mungkin ada orang yang ingin mengambilnya sebagai pembantu rumah.
''Keterangan tertuduh juga penuh dengan percanggahan. Contohnya orang yang bernama Mohd. Zafar, sekejap tertuduh mendakwa dia adalah cucunya, tetapi kemudian memberitahu dia adalah ejen. Cerita tertuduh tidak konsisten dan lebih kepada rekaan serta cerita tokok-tambah yang gagal membangkitkan sebarang keraguan,'' katanya.
Fazila Bee yang berbaju-T lengan panjang putih, berseluar sukan biru gelap serta bertudung hitam dilihat masih mengelap air mata semasa dibawa ke lokap mahkamah sebelum dihantar ke penjara.
Dia yang mempunyai beberapa orang cucu didakwa mengedar dadah tersebut di Kaunter Pemeriksaan Kastam A, Unit Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.30 petang, 13 Februari 2009.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursarah Dina Baharudin yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya, Naziah Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam K.A. Ramu.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam saksi manakala tertuduh pula memberi keterangan membela diri secara bersumpah dari kandang saksi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan