Sabtu, 21 Mei 2011

Tiga keldai dadah ditahan

JOHOR BAHRU 20 Mei – Biarpun taktik menggunakan bagasi yang diubah suai untuk menyeludup dadah ke negara ini sering ditumpaskan pihak polis, masih ada keldai dadah cuba-cuba ‘menyembunyikannya’ dengan kaedah itu.
Terbaru, tiga warga asing dari Bulgaria ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 5.68 kilogram, bernilai RM1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI) Senai di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia 25, 26 dan 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pukul 4.15 petang.
“Kesemua suspek yang dipercayai keldai dadah dari satu sindiket dadah antarabangsa Asia Barat ke Malaysia, ditahan sejurus tiba di LTASI.
“Mereka membawa dua bagasi pakaian yang diubah suai dengan dadah tersebut disorokkan di dalam ruang khas dan dilekatkan dengan pita pelekat.
“Berdasarkan siasatan awal, seorang daripada suspek telah empat kali masuk ke Malaysia manakala dua lagi kali pertama ke negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Mokhtar, sekiranya dadah tersebut terlepas ke pasaran dan diedarkan, ia mampu menampung kira-kira 20,000 penagih dadah.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati, modus operandi mereka menggunakan lapangan terbang domestik bagi mengelirukan pihak berkuasa tempatan.
Mohd. Mokhtar berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti destinasi suspek sebelum memasuki Malaysia.
“Kejayaan menumpaskan sindiket dadah tersebut adalah kali kedua kerana kita turut mematahkan cubaan menyeludup dadah dengan tertangkapnya dua lelaki warga Iran di LTASI pada 30 April lalu,” ujarnya.
Kesemua suspek, katanya, direman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan