Sabtu, 21 Mei 2011

Dadah: Pekebun dipenjara, sebat, rakan bebas

SHAH ALAM 18 Mei - ''Orang Melayu telah dididik sejak kecil bahawa dadah itu haram kerana ia seperti perbuatan membunuh diri yang sememangnya tidak dibenarkan dalam agama Islam.
''Masalahnya kita orang Islam tetapi tidak menghayati apa erti Islam sebenarnya. Islam menekankan yang utama adalah ilmu dan apabila ilmu tiada, kita mempermainkan hukum agama,'' kata Hakim Datuk Abd. Rahim Uda di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan sebatan 10 kali ke atas seorang pekebun, Fazizol Mohd. Razali, 25, yang mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 216 gram kanabis, dua tahun lalu.
''Doa kami agar kamu mengambil hukuman ini sebagai lembaran baru dan menjalani kehidupan mengikut undang-undang Allah dan bukan nafsu, semoga awak bertaubat nasuha,'' sambung beliau.
Fazizol yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kenderaan Flat Seri Sementa, Kapar, Klang dekat sini pada pukul 10.45 malam, 21 Februari 2009.
Pertuduhan pilihan ditawarkan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman di bawah Seksyen 39A(2) yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun, maksimum serta sebatan tidak kurang 10 kali.
Sebelum ini dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Manakala rakan Fazizol, Mohd. Zuhaili Husen, 29, seorang pembuat jeriji besi yang menghadapi tuduhan sama dilepas tanpa dibebaskan oleh mahkamah atas permohonan pihak pendakwaan.
Menurut fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Fikrie Ahmad Zubaidi, kedua-dua tertuduh ditangkap dalam satu operasi polis sewaktu sedang duduk di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan.
Pemeriksaan polis menjumpai sebuah beg kain berwarna hitam mengandungi satu ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja di dalam raga motosikal yang ditunggangi Mohd. Zuhaili.
Fazizol diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusof, manakala Mohd. Zuhaili diwakili oleh peguam Suzanawati Ismail.

Benjy dilihat serah peket kepada polis

KUALA LUMPUR 19 Mei - Seorang anggota polis hari ini mendakwa dia melihat pelakon Benjy menyerahkan kepada seorang pegawai atasannya satu peket plastik lutsinar disyaki syabu yang disembunyikan di dalam unit Kondominium Menara Duta 2.
Inspektor Roslan Tambi memberitahu Mahkamah Majistret di sini, selepas pintu utama kediaman Benjy itu dibuka oleh pembantu rumahnya, artis tersebut dengan segera mencapai peket plastik yang terletak di rak buku sebelum diserahkan kepada Asisten Supritendan Mohd. Ashril Md. Johar.
Kata Roslan, Benjy yang diberkas bersama pembantunya, Afifi Hamid di tempat meletak kereta kediaman tersebut, sebelum itu telah dibawa ke Kondominium Mutiara Vista, Kepong Baru selepas dijumpai sejambak kunci dalam poket seluar artis lelaki tersebut.
Tambah anggota polis itu yang bertugas sebagai Pegawai Risikan/Operasi di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ibu negara, dua peket plastik mengandungi dadah turut ditemui di atas sebuah meja di unit Kondominium Mutiara Vista.
Ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Mawarni Abdul Halim siapa anggota polis yang bertanggungjawab menyimpan ketiga-tiga peket dadah itu, saksi pendakwa kesembilan itu berkata, Mohd. Ashril yang menyimpan kesemua barang kes itu.
Ketika sesi soal balas oleh peguam bela yang mewakili Benjy, Amer Hamzah Arshad, lelaki tersebut memaklumkan, dia tidak pasti sekiranya tempat penyembunyian dadah di unit Menara Duta 2 itu boleh dilihat oleh sesiapa.
Namun ketika pemeriksaan semula oleh Noor Mawarni, Roslan menyatakan individu yang mengambil peket tersebut boleh melihat tempat penyembunyian barang terbabit.
Benjy, 33, atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim dibicarakan atas tuduhan memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut di sini pada pukul 4 petang, 11 Mac tahun lalu.
Tertuduh juga didakwa memiliki 0.14 gram dadah jenis yang sama di No. C-13-6, Vista Mutiara, Jalan Vista Mutiara, Persimpangan Jalan Ambong Kiri, Kepong Baru di sini pada pukul 3 petang hari yang sama.
Perbicaraan di hadapan Majistret Hafizza Sauni bersambung 30 Mei ini.
Dia yang hadir ditemani bapanya, Khairil Anwar ZM Rashidi didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh didenda maksimum RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya.
Perbicaraan di hadapan Majistret Hafizza Sauni bersambung 30 Mei ini.

Prostar mematangkan saya - Sandra Sigan

KAPIT 19 Mei - Anggota Cemerlang Kelab Program Sihat Tanpa Dadah (Prostar) dalam Mini Konvensyen Doktor Muda dan Prostar 2011 Bahagian Kapit, Sandra Sigan, menyifatkan penglibatannya dalam aktiviti itu sejak 2008 sebagai pengalaman yang cukup bermakna.
Sandra, 18, berkata, penglibatannya dalam Kelab Prostar SMK Selirik juga berjaya mematangkan dirinya dan pada masa yang sama membantu beliau menjadi seorang pelajar yang berkualiti.
"Walaupun sibuk dengan pelajaran kerana bakal menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada penghujung tahun ini, namun saya masih sempat menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Kelab Prostar.
"Di sekolah saya, Kelab Prostar merupakan antara kelab paling aktif dengan penganjuran pelbagai aktiviti. Antaranya aktiviti kebajikan seperti Program Titian Kasih, pertandingan futsal, melukis mural, melukis poster, menghasilkan buku skrap serta pagi sihat bersama Prostar," katanya.
Dalam pertemuan itu, pelajar yang menuntut di SMK Selirik itu mengakui, selain aktiviti yang menarik, beliau bergiat aktif dengan Kelab Prostar sekolah kerana guru pembimbing sangat aktif dan memahami kehendak pelajar.
"Kalau ada sebarang pertandingan atau aktiviti yang dilakukan, guru pembimbing akan memastikan segala-galanya berjalan lancar.
"Malah guru pembimbing sanggup menghabiskan masa rehat pada waktu petang dan malam semata-mata untuk melihat kejayaan kami.

Nenek warga India edar ketamine dihukum mati

SHAH ALAM 20 Mei - Seorang nenek warganegara India hanya mampu menangis tersedu-sedu apabila dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas tuduhan mengedar dadah jenis ketamine seberat 2,925 gram semasa tiba di negara ini, dua tahun lalu.
Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Fazila Bee Abdul Kareem, 62, selepas berpuas hati bahawa keterangan pembelaan tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Dalam penghakiman ringkasnya, beliau berkata, keterangan tertuduh didapati penuh dengan percanggahan serta tidak langsung dapat diterima akal.
Jelas beliau, tertuduh mendakwa datang ke Malaysia untuk bekerja sebagai pembantu rumah dan diminta oleh seorang wanita yang akan bekerja di tempat sama untuk mendaftar masuk sebuah beg semasa berada di India.
Bagaimanapun, kata Hakim Noor Azian, tertuduh bukan sahaja tidak mempunyai permit kerja dan hanya masuk menggunakan visa pelancong, tetapi tidak mengetahui siapa majikannya dan tidak mempunyai alamat tempat dia dikatakan akan bekerja.
''Tertuduh dikatakan lahir pada 1949 tetapi hasil pemerhatian terhadap keterampilannya, saya berpendapat umurnya lebih daripada itu dan tidak mungkin ada orang yang ingin mengambilnya sebagai pembantu rumah.
''Keterangan tertuduh juga penuh dengan percanggahan. Contohnya orang yang bernama Mohd. Zafar, sekejap tertuduh mendakwa dia adalah cucunya, tetapi kemudian memberitahu dia adalah ejen. Cerita tertuduh tidak konsisten dan lebih kepada rekaan serta cerita tokok-tambah yang gagal membangkitkan sebarang keraguan,'' katanya.
Fazila Bee yang berbaju-T lengan panjang putih, berseluar sukan biru gelap serta bertudung hitam dilihat masih mengelap air mata semasa dibawa ke lokap mahkamah sebelum dihantar ke penjara.
Dia yang mempunyai beberapa orang cucu didakwa mengedar dadah tersebut di Kaunter Pemeriksaan Kastam A, Unit Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 2.30 petang, 13 Februari 2009.
Dia dibicarakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nursarah Dina Baharudin yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya, Naziah Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam K.A. Ramu.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil enam saksi manakala tertuduh pula memberi keterangan membela diri secara bersumpah dari kandang saksi.

Enam lelaki, seorang wanita ditahan kes dadah

SEREMBAN 20 Mei - Enam lelaki dan seorang wanita, termasuk pasangan suami isteri ditahan selepas dipercayai terlibat kes dadah dalam empat kes berasingan di negeri ini, semalam dan Selasa lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supritendan R.Ravichandran berkata, dalam kes pertama, sepasukan polis bertindak menahan dua lelaki tempatan berusia 43 dan 51 tahun pukul 10.45 malam selepas menyerbu sebuah rumah di Kampung Tiong dekat Gemas di Tampin di sini, semalam.
Jelasnya, hasil serbuan pihaknya menemui dadah jenis heroin 448.9 gram (g) bernilai RM149,633.
"Salah seorang suspek cuba menyerang polis dengan senjata renjatan elektrik. Bagaimanapun, polis berjaya menumpaskannya dan menahan kedua-dua mereka yang berasal dari Segamat, Johor itu.
"Siasatan lanjut mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah. Turut dirampas dua buah kereta Toyota dan Proton Wira serta sebuah motosikal Yamaha LC," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di sini, hari ini.
Ravichandran memberitahu, dalam kes kedua pada hari yang sama, polis turut menahan dua lelaki berusia 30-an pada pukul 12.45 tengah hari selepas menyerbu sebuah rumah di Park Avenue, Seremban 2 di sini.
Katanya, hasil pemeriksaan polis menjumpai dadah jenis ganja seberat 563g dan heroin 40.3g di rumah tersebut yang kesemuanya bernilai RM15,992.
"Kes ketiga pada hari yang sama juga polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 20-an pada pukul 5.45 petang di sebuah rumah di Pinggir Senawang di sini selepas menerima maklumat awam.
"Hasil tangkapan polis menjumpai dadah jenis heroin seberat 16.9g bernilai RM5,866 di rumah suspek," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ravichandran berkata, kes keempat Selasa lalu pula, sepasang suami isteri berusia 30-an ditahan oleh polis kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Desa Anggerik di Nilai di sini.
"Hasil tangkapan polis menemui dadah jenis ganja 490g bernilai RM1,200 dan suami kepada wanita terbabit turut disahkan positif dadah menerusi ujian air kencing," ujarnya.
Kata beliau, kes semua kes dadah terbabit disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Tiga keldai dadah ditahan

JOHOR BAHRU 20 Mei – Biarpun taktik menggunakan bagasi yang diubah suai untuk menyeludup dadah ke negara ini sering ditumpaskan pihak polis, masih ada keldai dadah cuba-cuba ‘menyembunyikannya’ dengan kaedah itu.
Terbaru, tiga warga asing dari Bulgaria ditahan bersama dadah jenis syabu seberat 5.68 kilogram, bernilai RM1.5 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail (LTASI) Senai di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, suspek berusia 25, 26 dan 36 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pukul 4.15 petang.
“Kesemua suspek yang dipercayai keldai dadah dari satu sindiket dadah antarabangsa Asia Barat ke Malaysia, ditahan sejurus tiba di LTASI.
“Mereka membawa dua bagasi pakaian yang diubah suai dengan dadah tersebut disorokkan di dalam ruang khas dan dilekatkan dengan pita pelekat.
“Berdasarkan siasatan awal, seorang daripada suspek telah empat kali masuk ke Malaysia manakala dua lagi kali pertama ke negara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Mohd. Mokhtar, sekiranya dadah tersebut terlepas ke pasaran dan diedarkan, ia mampu menampung kira-kira 20,000 penagih dadah.
Katanya lagi, siasatan awal mendapati, modus operandi mereka menggunakan lapangan terbang domestik bagi mengelirukan pihak berkuasa tempatan.
Mohd. Mokhtar berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti destinasi suspek sebelum memasuki Malaysia.
“Kejayaan menumpaskan sindiket dadah tersebut adalah kali kedua kerana kita turut mematahkan cubaan menyeludup dadah dengan tertangkapnya dua lelaki warga Iran di LTASI pada 30 April lalu,” ujarnya.
Kesemua suspek, katanya, direman sehingga Rabu ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988.

Khamis, 7 April 2011

Lagi sindiket dadah Iran tumpas

KUALA LUMPUR 6 April – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan menangkap sembilan individu termasuk empat wanita warga Iran di ibu negara, semalam.
Operasi besar-besaran itu juga berjaya merampas 71.4 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM17.9 juta dan wang tunai RM7.1 juta serta pelbagai mata wang asing.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 38 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar ibu negara.
Menurut beliau, tangkapan pertama dilakukan ke atas seorang lelaki di sebuah pangsapuri di Jalan Inai, di sini yang dijadikan stor simpanan dan pembungkusan serta menemui 69 kg dadah jenis syabu.
Jelas beliau, hasil soal siasat, pihaknya menahan seorang lagi lelaki dipercayai ahli sindiket di tepi Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum suspek membawa polis ke sebuah rumah di Sentul dan menemui 1.99 kg syabu.
“Polis kemudian menahan tiga lelaki dan empat wanita masing-masing di Taman Datuk Ahmad Razali, Ampang, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Tunku Abdul Rahman.
“Hasil pemeriksaan di semua rumah suspek, kita menemui wang tunai dipercayai hasil jual beli dadah yang disimpan sebelum dihantar ke negara asal,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Tambah Noor Rashid, siasatan awal mendapati, sindiket yang aktif sejak sebulan lalu memperoleh dadah dari negara asal sebelum diedarkan ke negara ini serta beberapa negara lain seperti Indonesia, Jepun, Australia dan New Zealand.
“Kita telah menjalankan intipan selama sebulan hasil maklumat orang awam dan risikan JSJN sendiri,” katanya.
Menurut beliau, turut dirampas lima buah kenderaan, 26 utas jam tangan pelbagai jenama dan dua buah komputer riba yang dipercayai digunakan untuk transaksi penghantaran wang.
Katanya, kesemua suspek kini ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Noor Rashid juga memberitahu, sejak Januari hingga 4 April tahun ini, pihaknya berjaya menumpaskan beberapa sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya 65 individu dan merampas 297 kg dadah jenis syabu bernilai RM75 juta.