Selasa, 28 Disember 2010

Berita Mahkamah Dadah 3

Pelajar 16 tahun antara 66 dicekup

HULU TERENGGANU 26 Dis. - Usianya baru menjangkau 16 tahun, namun seorang remaja lelaki anak kepada peneroka di sini sudah terlibat dengan penagihan dadah sejak berusia 15 tahun lagi.
Biarpun tahu perbuatan yang dilakukan salah di sisi undang-undang namun remaja lelaki ini tidak pernah gentar, malah terus menjadikan tabiat buruk mengambil pil kuda sebagai rutin hariannya.
Bagaimanapun suspek yang masih bersekolah di sebuah sekolah menengah di sini, dicekup polis dalam Ops Tapis Bersepadu awal pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri, Supt. Roslan Abd Wahid berkata suspek ditahan kira-kira pukul 3 pagi dalam serbuan di rumahnya di Felda Jerangau Barat.
"Suspek dibawa ke Balai Polis Ajil untuk menjalani ujian saringan air kencing. Hasil ujian itu mendapati dia positif dadah jenis pil kuda dan pelajar itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Menurut Roslan dalam operasi itu, seramai 87 telah diperiksa dan 66 daripadanya didapati positif dadah, semua suspek berumur antara 16 dan 40 tahun yang kini direman untuk siasatan lanjut.
"Selain positif dadah, ada yang ditahan disiasat kerana terlibat dalam memiliki dan mengedar dadah," kata beliau.
Katanya, turut dirampas dalam operasi itu sejumlah dadah jenis heroin, syabu dan sebiji pil kuda.
Operasi disertai 66 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri dengan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, DSP Amran Ramli. - BERNAMA

Berita Mahkamah Dadah 2

Mahkamah tolak permohonan reman terhadap 2 anggota polis

PETALING JAYA 27 Dis. - Polis hari ini gagal mendapatkan permohonan reman terhadap dua anggotanya yang berpangkat konstabel bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan mencederakan seorang lelaki dalam satu sekatan jalan raya di Kota Damansara di sini pada 18 Disember lalu.
Permohonan reman itu ditolak oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas mendengar hujah daripada peguam bela suspek, Suraj Singh.
Suraj ketika menemui pemberita berkata, dia memohon anak guamnya supaya tidak direman kerana mereka berdua ialah anggota polis.
"Mereka (suspek) tidak perlu direman kerana masih anggota polis dan terikat dengan undang-undang pasukan.
"Jika diperlukan untuk membantu siasatan, anak guam saya pasti dapat hadir dan memberikan keterangan seperti yang dikehendaki kerana mereka faham dengan kerjasama yang perlu diberikan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dua anggota terbabit berusia 25 dan 27 tahun dari Balai Polis Damansara ditahan semalam selepas didakwa mencederakan mangsa, Chia Buang Hing, 34.
Buang Hing sebelum itu ditahan dalam sekatan jalan raya kerana gagal mempamerkan cukai jalan selain disyaki memiliki dadah dan parang.
Kedua-dua anggota polis itu turut didakwa mencuri wang tunai sebanyak RM13,000 milik mangsa.
Berikutan itu mangsa telah membuat satu laporan polis pada 23 Disember lalu iaitu sehari selepas dia menjalani tahanan reman selama empat hari dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan Seksyen 379 kanun yang sama iaitu mencuri.

Berita Mahkamah Dadah

4 warga Taiwan terlepas tali gantung

JOHOR BAHRU 27 Dis. - Empat lelaki warga Taiwan terlepas daripada hukuman gantung sampai mati apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar seberat 43.033 kilogram (kg) dadah jenis nimetazepam, Mac tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, M. Gunalan memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh iaitu Chung Sheng Wen, 37; Chang Yen Min, 36; dan Chang Yun Sheng serta Wu Sheng Yuan, masing-masing berusia 32 tahun.
''Pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa kesemua tertuduh berada di premis berkenaan tetapi gagal membuktikan bahawa mereka terlibat dengan kegiatan memproses dadah berkenaan.
''Pendakwaan juga gagal membuktikan penglibatan tertuduh secara langsung dalam memiliki peralatan dan bahan bukti yang dirampas daripada premis berkenaan. Oleh itu kesemua tertuduh dibebaskan daripada pertuduhan,'' katanya.
Keempat-empat warga Taiwan itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah kilang beralamat nombor 12, Jalan Angkasa Emas 6, Kawasan Perindustrian Tebrau 2 di sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 22 Mac 2009.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta tersebut yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan itu merupakan pertuduhan pindaan selepas mereka pada 3 April tahun lalu dituduh mengedar dadah jenis Eramin 5 seberat 1,439 kg di kilang itu pada tarikh dan waktu yang sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar yang mengendalikan pendakwaan sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa kesemua tertuduh yang ditahan di kilang berkenaan terbabit memproses dan mengedar dadah tersebut.
Bagaimanapun, peguam bela tertuduh-tertuduh, Naran Singh dan G.K. Sritharan pula berkata, ketika serbuan di kilang itu, kesemua lelaki terbabit berada di tingkat atas bangunan dan tidak mengetahui sebarang aktiviti di bahagian bawah kilang.
''Pihak pendakwaan hanya bergantung kepada sesetengah bukti sahaja. Selain itu, tiada bukti khusus mengaitkan mereka terlibat secara langsung dengan kegiatan memproses dadah atau mengetahui tentang perkara itu,'' katanya.
Beliau berkata, pihak pendakwaan juga gagal memanggil saksi utama iaitu pengawal keselamatan dan penyewa bangunan berkenaan untuk memberikan keterangan.

Jumaat, 17 Disember 2010

BERITA DADAH LUAR NEGARA

Pengawal temui makmal proses dadah dalam penjara di Brazil

18/12/2010 2:48am


RIO DE JANEIRO 18 Dis. - Sebuah makmal pemerosesan dadah dipercayai didalangi oleh satu sindiket penjenayah ditemui beroperasi di sebalik dinding palsu bilik berjeriji dalam penjara daerah Amazon di Brazil, kata para pegawai semalam.
Para pengawal yang membuat pemeriksaan harian ke bilik-bilik penjara itu turut menemui peralatan haram untuk pemerosesan dadah berupa sekilo serbuk kokain bersama 27 telefon dan 20 kontena bahan kimia seperti aseton dan gas dalam makmal serba lengkap di Caceres itu, kata jurucakap pengawal yang terlibat dalam pemeriksaan tersebut.
Leftenan kolonel Jadir Metelo, komander polis tempatan ketika mengesahkan menerima maklumat itu memberitahu akhbar O Globo, komplot itu menyediakan dadah itu untuk dijual dalam penjara berkenaan.
Warden penjara dikatakan terlibat atau tahu kewujudan makmal dadah didalam penjara itu, namun siasatan masih diteruskan oleh pihak pentadbir penjara. - AFP

BERITA TENTANG DADAH HARI INI

Pengedar dadah maut terjun flat dari tingkat empat

SHAH ALAM 17 Dis. - Seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah maut selepas nekad terjun dari tingkat empat sebuah flat ketika polis menyerbu sebuah rumah di Taman Bunga Negara, Seksyen 27, di sini semalam.
Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku ketika empat anggota dan pegawai polis cawangan narkotik di sini, menyerbu premis tersebut hasil maklumat wujudnya kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, ketika serbuan, terdapat enam lelaki berusia 19 hingga 27 tahun di dalam rumah itu, manakala dua lagi berjaya melarikan diri.
Katanya, suspek adalah antara dua lelaki yang melarikan diri melalui bahagian belakang rumah berkenaan apabila menyedari rumah itu diserbu polis.
"Anggota polis segera ke bahagian belakang rumah itu dan menemui mayat seorang lelaki terbaring di laluan pejalan kaki di belakang flat berkenaan.
"Siasatan mendapati suspek yang berusia 29 tahun ialah pengedar dadah jenis syabu dan memiliki dua rekod lampau membabitkan dadah serta menyimpan barang curi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Zahedi menambah, polis merampas satu peket dadah jenis syabu seberat 0.5 gram, dianggarkan bernilai RM50 daripada salah seorang lelaki itu.
Katanya lagi, mayat suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini untuk bedah siasat.

AKIBAT PENAGIHAN DADAH

Akibat Penagihan Dadah
Kesan dadah boleh dilihat daripada empat sudut iaitu :-
1. Kesan Kepada Penagih
• Penagihan akan menjauhkan diri daripada masyarakat umum dan bergaul hanya dengan kumpulan penagih, pengedar dan penjenayah.
• Tidak bertanggungjawap kepada persekolahan dan prestasi kerja.
• Dari segi fizikal, penagih akan menjadi kurus, lemah tenaga, malas dan kelihatan seperti dalam khayalan.
• Pitam, pengsan, berperasan ganas, rase ketagihan berlebihan.
• Daya tahan penyakit akan menjadi lebih dan mudah dijangkiti seperti kancing gigi, Hepatitis, Tibi, HIV/Aids dan maut.
2. Kesan Kepada Keluarga
• Menjatuhkan maruah dan nama baik keluarga.
• Membebankan keluarga penagih kerana menghabiskan masa, tenaga dan wang yang banyak untuk merawatnya.
• Rumah tangga menjadi porak peranda.
• berlaku perceraian dan keganasan rumah tangga di kalangan anggota keluarga.
3. Kesan Kepada Masyarakat
• mengancam ketenteraman awam dengan kejadian jenayah seperti rompakan dan pembunuhan.
• Perpaduan, pembangunan dan kemajuan masyarakat boleh terjejas akibat penglibatan remaja dan belia dengan dadah.
• Persengketaan dan perselisihan antara masyarakat berlaku akibat penglibatan anggota masyarakat dengan dadah.
4. Kesan Kepada Negara
• Negara dan masyarakat terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat daripan masalah penyalahgunaan dadah yang berterusan. Kos tersebut termasuklah :
• Kehilangan./ kerugian akibat pengurangan daya pengeluaran ekonomi.
• Kos bagi menyediakan khidmat rawatan dan pemulihan penagih dadah.
• Kos bagi menyelenggara program-program pencegahan.
• Kos kerana kerugian akibat daripan aktiviti jenayah yang berlaku.
• Kos bagi meneruskan kegiatan penguatkuasaan seperti menambah bilangan anggota polis, kakitangan jabatan penjara, mahkamah, hospital dan sebagainya.
• Kos kerugian tenaga dan modal insan yang kebanyakkan terlibat dalam penagihan dadah terdiri daripada golongan remaja dan belia.

PENYALAHGUNAAN DADAH


PENDAHULUAN
Dewasa ini masalah keruntuhan akhlak di kalangan pelbagai masyarakat di negara kita amat
mencemaskan dan menjadi semakin rumit untuk ditangani. Salah satu masalah sosial yang
agak meruncing adalah penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat khususnya Umat
Islam. Penyalahgunaan dadah yang berleluasa ini telah menimbulkan satu masalah besar
kepada negara. Setiap tahun bilangan penagih kian bertambah sedangkan yang sedia
menagih tidak pula berkurangana atau sembuh. Pihak kerajaan telah berusaha keras untuk
menangani masalah ini yang kini telah menjadi satu agenda utama negara untuk
membasminya. Berhubungan dengan itu, kita juga telah dikejutkan dengan kesan buruk
akibat dari pengambilan dadah ini iaitu satu penyakit ‘kronik’ yang dikenali sebagai HIV
(Human Immunodeficency Virus) dan AIDS (Aquired Immune Deficency Syndrome).
Walau pun kita semua benci kepada perkara ini, namun kerajaan tidak pernah
mengabaikan tanggungjawabnya untuk memulih dan menyelamatkan mereka yang terlibat
ini dan berharap mereka akan insaf serta berusaha memulihkan diri sendiri.

SERANGAN MUSUH ISLAM

Kita tahu bahawa musuh-musuh kita amat tidak suka melihat perkembangan Islam yang
begitu maju dan terkehadapan dalam banyak segi. Mereka sentiasa mencari berbagai cara
bagi menjatuhkan Islam dan cara yang paling berkesan ialah melemahkan kekuatan umat
Islam itu sendiri. Penggunaan dadah sudah diketahui umum cukup berjaya dan inilah yang
dibawa oleh musuh Islam. Dalam keghairahan kita mengejar kehidupan kita kadangkala
terlupa tentang jerat yang menanti kita.

APA ITU DADAH?

Mengikut Risalah kecil 'Islam Memusuhi Dadah' yang diterbitkan oleh Pasukan Petugas
Khas Anti dadah, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri pada tahun 1993,
telah memberi penjelasan seperti berikut : Dadah ialah bahan kimia psikoaktif yang
mempunyai kesan paling ketara ke atas sistem saraf seperti menyebabkan keadaan
mabuk, khayal, ketagih, gangguan tingkahlaku dan sebagainya. Penggunaannya yang
berterusan akan mendatangkan bahaya dan kerosakan kepada diri, keluarga, masyarakat,
negara dan agama Islam. · Takrif ini tidak meliputi alcohol dan tembakau serta ubat yang
juga merupakan bahan kimia asli atau tiruan yang digunakan untuk mengesan , mencegah
atau mengubati penyakit.

JENIS DADAH

Dadah boleh dibahagikan kepada tiga jenis utama, iaitu : 1. Depresan - termasuk heroin,
morfin, candu, kodein dan barbiturat. 2. Stimulan - termasuk kokain, amfetamin, gam ,
pelarut organik seperti benzin dan cat. 3. Halusinogen - termasuk ganja, habish, LSD,
PCP,’Crack’ dan bahan yang mengandungi psilosibin.

MENGAPA ISLAM MELARANG PENGAMBILAN DADAH D

alam menjamin kesejahteraan hidup, Islam telah menetapkan
panduan-panduan dan larangan-larangan dalam pengambilan bahan makanan atau barang
gunaan agar umatnya tidak terjerumus dalam mengambil benda-benda yang ditegah. Ini
semua adalah untuk memastikan kesinambungan hidup manusia agar sentiasa terpelihara
akidahnya. Kita sering mendengar pepatah arab yang menyebut : 
Maksudnya :' Akal yang sihat terletak pada tubuh badan yang sihat'. 

Ini bermakna hubungan di antara akal (mental/spritual) dan badan (fizikal) amat berkaitrapat dan akan
memberi kesan yang mendalam di antara satu sama lain. Oleh kerana itu, Islam menggesa 
umatnya supaya mengambil makanan yang baik dan halal termasuklah bersih dan 
berkhasiat . Tegahan mengambil benda/bahan makanan yang kotor, jijik dan keji serta yang 
ditegah adalah jelas dilarang sama sekali termasuklah mengambil benda-benda yang 
memabukkan seperti dadah. Kerana mempunyai kaitan yang rapat dengan mental/spritual 
maka ia amat mempengaruhi kesempurnaan amal ibadat seseorang. Sebagai umat Islam, 
kita perlu mengetahui bahawa dadah adalah sejenis ‘bahan’ kotor, najis, jijik dan keji yang 
boleh merosakkan kesihatan tubuh badan kerana sifatnya yang memabukkan/
mengkhayalkan. Perbuatan mengambil dadah sama seperti sengaja melibatkan diri dalam 
larangan-larangan Allah S.W.T. dan ianya amat ditegah. Firman Allah S.W.T. dalam 
al-Qur’an surah al-Baqarah ayat 195 berbunyi : 
Maksudnya : '… Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu 

sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan …'

HUKUM

Larangan pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang diqiaskan
kepada arak. Dalam al Qur’an banyak menyebut mengenai pengharaman arak dan dalil
pengharaman ini bersandarkan kepada keterangana nas-nas (al-Qur’an dan al hadith)
kerana ia termasuk dalam pengertian umum ‘benda-benda yang memabukkan, yang
menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu
‘memabukkan’ atau kerana terdapat keburukan-keburukan terhadap individu-individu dan
masyarakat. Sabda Rasulullah s.a.w. berbunyi : 
Maksudnya :' Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram'.
(Riwayat Muslim)

 KESAN PENGAMBILAN DADAH 
i. Dadah Menghancurkan Rumahtangga : Keluarga dinaungi oleh ketua yang menjadi penagih akan menimbulkan
berbagai kesulitan dan masalah di antaranya tidak dapat menyediakan nafkah yang
diperlukan bahkan terdapat yang memaksa isteri dan anak-anak memberi wang untuk 
membeli dadah. Sebagai ketua keluarga, Islam menitikberat mengenai kehidupan ahli 
keluarga agar dipelihara dengan sebaik-baiknya. Firman Allah S.W.T. dalam surah
at-Tahrim ayat 6 yang berbunyi : 
Maksudnya : '...peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka… '.

 Rasulullah s.a.w bersabda : 
Maksudnya : ' Seseorang itu adalah berdosa jika dia menyempitkan orang yang di
bawahnya '. (Riwayat Ahmad dan Abu Daud) 

ii. Dadah Menimbulkan Masalah Jenayah :
Jenayah seringkali juga dikaitkan dengan penagih-penagih. Masalah ketiadaan sumber
kewangan untuk memenuhi keperluan keluarga dan diri sendiri boleh menyebabkan hilang
punca kawalan diri dan cara yang paling mudah untuk mendapat wang adalah melakukan
jenayah sama ada mencuri, memeras ugur, merompak atau membunuh. 

iii. Dadah Merosakkan Diri Sendiri : Apa yang sungguh menyedihkan ialah penagih-penagih yang
sebati dengan dadah ketagih sudah tidak dapat dipulihkan lagi. Mereka ini tidak dapat
mengawal diri sendiri, kotor, busuk malah telah menjadikan lorong-lorong tertentu sebagai
tempat tinggal. Sungguh memilukan mata memandang. Bayangkan jika mereka ini terdiri
dari kalangan keluarga kita, apa yang patut kita buat?. Mereka ini sudah tiada haluan hidup,
dibenci masyarakat dan membebankan negara.

 iv. Dadah Mendatangkan Penyakit HIV/AIDS : Salah satu kesan buruk yang amat ditakuti pada hari ini akibat dari pengambilan dadah yang berterusan adalah berkemungkinan mengidap penyakit HIV/AIDS. Memang sudah diketahui umum, bagi penagih yang berada dalam peringkat ketagihan dadah akan menggunakan 
berbagai cara untuk menghilangkan ketagihan itu, di antaranya melalui suntikan pada
anggota badan. Bagi yang tidak mempunyai cukup wang, mereka sanggup berkongsi jarum
dan cara inilah yang menyebabkan menularnya penyakit tersebut.
Apa yang lebih mendukacitakan ialah penyakit ini masih belum dapat dirawat sepenuhnya,
hanya bertahan untuk satu waktu yang tidak dapat dipastikan.

Dalam kes seperti ini sama ada penagih itu mengidap penyakit atau sebagai pembawa
penyakit, mereka seringkali dipandang hina oleh masyarakat bahkan keluarga sendiri
termasuk isteri/suami dan anak-anak. Masyarakat juga takut diri mereka dijangkiti penyakit
tersebut. Masalah ini kadangkala menjeruk hati dan perasaan pasangan berkenaan kerana
berada dalam keadaan serba salah.

v. Dadah Membunuh Diri Sendiri :

Di atas larangan yang paling besar perlu dipastikan oleh umat Islam ialah tidak dibenarkan
membunuh diri sendiri walau dalam keadaan apa sekalipun, dan mengambil dadah boleh 
membawa kepada kematian. Tegahan membunuh diri jelas dalam al-Qur’an, 
Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 151 berbunyi :

Maksudnya :' …dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah melainkan 

dengan jalan yang hak.…'

Penutup :

Islam amat menitikberatkan mengenai kesejahteraan hidup umatnya. Dalam banyak perkara, 
keutamaan terhadap keimanan seseorang adalah menjadi tunjang utama untuk mencapai
kesejahteraan dan kebahagiaan hidup. Jelaslah syariat Islam diturunkan adalah untuk
memelihara kewujudan ummah dengan memelihara perkara-perkara asas iaitu jiwa, akal,
keturunan, agama, kehormatan di samping mengharamkan segala yang boleh
merosakkannya. Insya Allah, kita semua akan dijauhi dari bahaya dadah ini.