Selasa, 28 Disember 2010

Berita Mahkamah Dadah 2

Mahkamah tolak permohonan reman terhadap 2 anggota polis

PETALING JAYA 27 Dis. - Polis hari ini gagal mendapatkan permohonan reman terhadap dua anggotanya yang berpangkat konstabel bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan mencederakan seorang lelaki dalam satu sekatan jalan raya di Kota Damansara di sini pada 18 Disember lalu.
Permohonan reman itu ditolak oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya selepas mendengar hujah daripada peguam bela suspek, Suraj Singh.
Suraj ketika menemui pemberita berkata, dia memohon anak guamnya supaya tidak direman kerana mereka berdua ialah anggota polis.
"Mereka (suspek) tidak perlu direman kerana masih anggota polis dan terikat dengan undang-undang pasukan.
"Jika diperlukan untuk membantu siasatan, anak guam saya pasti dapat hadir dan memberikan keterangan seperti yang dikehendaki kerana mereka faham dengan kerjasama yang perlu diberikan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Dua anggota terbabit berusia 25 dan 27 tahun dari Balai Polis Damansara ditahan semalam selepas didakwa mencederakan mangsa, Chia Buang Hing, 34.
Buang Hing sebelum itu ditahan dalam sekatan jalan raya kerana gagal mempamerkan cukai jalan selain disyaki memiliki dadah dan parang.
Kedua-dua anggota polis itu turut didakwa mencuri wang tunai sebanyak RM13,000 milik mangsa.
Berikutan itu mangsa telah membuat satu laporan polis pada 23 Disember lalu iaitu sehari selepas dia menjalani tahanan reman selama empat hari dan dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dan Seksyen 379 kanun yang sama iaitu mencuri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan