Jumaat, 17 Disember 2010

BERITA TENTANG DADAH HARI INI

Pengedar dadah maut terjun flat dari tingkat empat

SHAH ALAM 17 Dis. - Seorang lelaki yang dipercayai pengedar dadah maut selepas nekad terjun dari tingkat empat sebuah flat ketika polis menyerbu sebuah rumah di Taman Bunga Negara, Seksyen 27, di sini semalam.
Kejadian pukul 4.30 petang itu berlaku ketika empat anggota dan pegawai polis cawangan narkotik di sini, menyerbu premis tersebut hasil maklumat wujudnya kegiatan penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, ketika serbuan, terdapat enam lelaki berusia 19 hingga 27 tahun di dalam rumah itu, manakala dua lagi berjaya melarikan diri.
Katanya, suspek adalah antara dua lelaki yang melarikan diri melalui bahagian belakang rumah berkenaan apabila menyedari rumah itu diserbu polis.
"Anggota polis segera ke bahagian belakang rumah itu dan menemui mayat seorang lelaki terbaring di laluan pejalan kaki di belakang flat berkenaan.
"Siasatan mendapati suspek yang berusia 29 tahun ialah pengedar dadah jenis syabu dan memiliki dua rekod lampau membabitkan dadah serta menyimpan barang curi," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Zahedi menambah, polis merampas satu peket dadah jenis syabu seberat 0.5 gram, dianggarkan bernilai RM50 daripada salah seorang lelaki itu.
Katanya lagi, mayat suspek dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dekat sini untuk bedah siasat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan