Rabu, 30 Mac 2011

Pelbagai jenis dadah bernilai RM53,500 dirampas

ALOR SETAR 28 Mac - Polis memberkas empat lelaki termasuk seorang remaja bawah umur dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM53,500 dalam tiga operasi berasingan pada 25 Mac lalu dan kelmarin.
Menurut Ketua Polis Negeri, Datuk Ahmad Ibrahim, operasi pertama pada 25 Mac pukul 10.35 malam berjaya memberkas seorang lelaki warga Afrika di stesen bas Shahab Perdana di sini.
"Hasil pemeriksaan fizikal ke atas suspek menemui 15 ketulan mampat disyaki ganja seberat 14.75 kilogram (kg) bernilai RM37,500 di dalam sebuah beg dibawanya.
"Lelaki berusia 48 tahun itu ditahan reman sehingga 1 April ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini hari ini.
Ahmad menambah, remaja bawah umur berusia 17 tahun itu ditahan dalam operasi kedua pada pukul 3.30 pagi bersama seorang lelaki berusia 28 tahun di Changloon, semalam.
"Pemeriksaan ke atas suspek dan kenderaan yang mereka naiki menemui pelbagai jenis dadah termasuk 17.25 gram heroin, 8.7 gram ganja, 3.47 gram syabu dan 40 biji pil yang bertulis WY dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM7,000.
"Remaja tersebut dipercayai sudah tidak bersekolah sementara rakannya mempunyai dua rekod jenayah lampau termasuk kesalahan dadah," jelas beliau.
Katanya, kes tersebut juga disiasat di bawah seksyen dan yang sama dan boleh membawa hukuman mandatori gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Dalam operasi ketiga katanya, seorang penganggur ditahan di sebuah rumah di Taman Seruling Sungai Petani kerana memiliki 24.5 gram dadah jenis syabu, semalam.
"Pemeriksaan lanjut di rumah tersebut turut menemui sepucuk pistol semi automatik dan sebuah kereta yang dilaporkan hilang di Ayer Itam, Pulau Pinang.
"Ujian air kencing ke atas lelaki berusia 33 tahun itu juga positif dadah jenis methamphetamine," katanya.
Menurut Ahmad, suspek ditahan di bawah Seksyen 39A (1), Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama dan Seksyen 8 Akta Senjata Api.

Isnin, 28 Mac 2011

Penghidap HIV miliki ganja dijel

SHAH ALAM: Seorang lelaki menghidap HIV positif dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan memiliki 484 gram (g) ganja di Batu Caves, dekat sini, tahun lalu.
Hakim Datuk Mohtarudin Baki ketika menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 42 tahun dan memerintahkan ia berjalan dari tarikh tangkap iaitu pada hari kejadian.

Mohtarudin pada penghakimannya berkata, mahkamah menerima pengakuan salah tertuduh yang ikhlas berdasarkan fakta kes bahawa dadah berkenaan ditemui di parkir rumah dan bukan tempat berkunci. Tertuduh yang kini berjalan menggunakan tongkat pada mulanya tenang dilihat menitiskan air mata apabila dihampiri ahli keluarganya. Mengikut pertuduhan pilihan, bapa dua anak itu didakwa memiliki dadah itu di sebuah rumah di Taman Sri Gombak, Batu Caves, dekat sini, jam 5.50 pagi, pada 7 Januari tahun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, dia bernasib baik kerana pada awalnya dituduh mengikut pertuduhan asal mengedar mengikut Seksyen 39B akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Man Dayak kecundang

MERSING: Tidak pernah serik. Walaupun sudah tiga kali ditahan dan dibuang daerah, lelaki yang terkenal di kalangan penagih dengan panggilan Man Dayak masih terus aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah di sekitar pekan Endau dan daerah berhampiran.
Bagaimanapun, kegiatan licik Man Dayak selama 22 tahun itu menemui noktah tengah hari kelmarin, apabila dia ditahan anggota Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mersing.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Mersing, Cif Inspektor Kenneth Oliver bersama beberapa anggota menyerbu rumah suspek di Jalan Haji Ariffin, Endau.
Difahamkan, ketika pintu rumah berkenaan diketuk, suspek enggan memberi kerjasama sehingga memaksa polis bertindak memecahnya.

Polis menahan suspek berusia 40 tahun bersama beberapa plastik dipercayai dadah.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Nor Rasid berkata, hasil pemeriksaan lanjut polis menemui satu bekas minyak dan beg plastik mengandungi 583 gram heroin dan 3.7 gram syabu bernilai RM12,000 serta wang tunai RM5,850.

“Serbuan itu hasil maklumat awam dan polis mengambil masa tiga bulan menjalankan intipan sebelum menyerbu lokasi berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dikenali sebagai Man Dayak dan berasal dari Taman Sri Mersing, mempunyai 14 rekod jenayah lampau dan pernah ditahan tiga kali di Penjara Simpang Renggam atas kesalahan sama,” katanya.
Menurutnya, selain perintah tahanan, suspek pernah dibuang daerah tiga kali iaitu sekali di Kelantan dan dua kali di Tanjung Karang, Selangor, kerana kesalahan dadah.

Katanya, Man Dayak sudah lama disenaraikan sebagai individu dikehendaki polis kerana dipercayai terbabit dalam sindiket pengedaran dadah di kawasan Endau.

“Selain itu, suspek dipercayai menjadi pengedar di kawasan berkenaan sejak sekian lama selepas selesai menjalani hukuman buang daerah,” katanya.

Beliau berkata, ketika ditahan, suspek tidak melawan, malah akur apabila diarah menjalani ujian air kencing.

“Suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga 3 April ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan,” katanya.

Mohd Nor berkata, dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM12,000 dan wang tunai yang dijumpai dipercayai hasil jualan bahan terlarang itu kepada penagih di sekitar kawasan berkenaan.

“Kami percaya, dengan tertangkapnya Man Dayak, kegiatan penagihan dadah di kawasan Endau dilumpuhkan. “Bagaimanapun, polis masih menjalankan intipan dari semasa ke semasa untuk menahan beberapa lagi individu yang dipercayai terbabit dalam jenayah berkenaan,” katanya.

Sekeluarga makan hasil jualan dadah

AMPANG: Hanya kerana terlalu sayangkan anak dan ingin hidup mewah, sepasang suami isteri sanggup bersekongkol dengan anak lelakinya dalam kegiatan pengedaran dadah.
Biarpun mengetahui kegiatan jenayah anak kesayangannya itu, pasangan terbabit dikatakan sanggup menyembunyikannya daripada pengetahuan polis kerana tidak mahu anaknya meringkuk dalam penjara.

Lebih mengejutkan, pasangan yang berusia 50-an itu dikatakan tidak menghalang kegiatan anak lelakinya itu kerana mampu mengecapi hidup mewah hasil ‘jualan’ anaknya itu.
Namun, hasil maklumat orang awam dan risikan pihak berkuasa, kegiatan anak lelakinya yang berusia 20-an dikesan sebelum satu serbuan dilakukan di rumah keluarganya di Bukit Antarabangsa, di sini, Jumaat lalu.

Difahamkan, selain pasangan terbabit, salah seorang anak lelaki dan menantunya turut ditahan ketika berada dalam kondominium mewah berkenaan.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 malam itu, sekumpulan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, menyerbu kediaman berkenaan selepas melakukan intipan selama beberapa minggu. Menurut sumber, intipan dilakukan selepas menerima maklumat awam mengatakan suspek adalah seorang pengedar dadah. “Malah, lelaki terbabit dilaporkan tidak bekerja dan bergantung hidup dengan hasil jualan bahan terlarang itu. “Ketika serbuan dilakukan, ahli keluarga suspek berada di dalam rumah berkenaan bersama anak lelaki dan menantunya. Hasil pemeriksaan polis selepas menggeledah rumah itu menemui beberapa peket dadah dipercayai heroin,” katanya.